SELANGOR FC
BERITA

Gol Faisal Halim Menentang Korea Republik Dinobatkan Sebagai Gol Terbaik Piala Asia 2023

Feb 27, 2024 - FAS

Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim secara rasmi telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah Gol Terbaik kejohanan Piala Asia di Qatar baru-baru ini selepas mengumpul 85 peratus undian di laman media sosial AFC Asia Cup semalam.

Gol tersebut telah dijaringkan ketika berdepan Korea Selatan dalam perlawanan akhir Kumpulan E Piala Asia pada 25 Januari yang lalu. Faisal telah menjaringkan gol pembukaan skuad Kebangsaan pada minit ke-51 bagi mengikat perlawanan selepas pasukan Korea Selatan menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-21. Perlawanan yang penuh dengan serangan demi serangan sehingga tamat masa tambahan separuh masa kedua berakhir dengan keputusan 3-3.

Faisal atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mickey’ menzahirkan rasa syukur beliau selepas gol pertama beliau di pentas Asia itu telah dinobatkan sebagai Gol Terbaik Piala Asia di Qatar dengan undian yang tinggi daripada seluruh penyokong bola sepak Asia khususnya rakyat Malaysia.

“Pertama sekali, alhamdulillah, rezeki saya, ahli keluarga dan seluruh rakyat Malaysia. Anugerah Gol Terbaik Piala Asia ini amat bermakna untuk diri saya kerana ia merupakan pencapaian terbesar dalam karier saya.

“Secara jujurnya, saya tidak pernah menjangkakan yang akan dapat mengatasi nama-nama besar yang bertanding dalam saingan Piala Asia 2023. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan penyokong Harimau Malaya yang telah mengundi saya untuk memenangi anugerah Gol Terbaik kejohanan ini. Jasa anda semua amat saya hargai. 

“Anugerah ini bagi saya merupakan satu titik permulaan yang baik untuk saya meneruskan karier bola sepak bersama kelab dan pasukan Kebangsaan dengan lebih semangat bagi musim 2024/2025.” kata Faisal semasa temubual bersama pihak Media Selangor FC.

Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan tahniah kepada Faisal Halim sekali lagi di atas pencapaian muncul sebagai pemenang Gol Terbaik Piala Asia 2023 di Qatar. Semoga beliau dapat mencapai lebih banyak kejayaan untuk musim 2024/2025. Tahniah Mickey!

Demi Kebanggaan!